Tiada apa yang boleh diperkatakan lagi. Nasi pun telah menjadi bubur.
Itulah yang boleh diperkatakan dengan apa yang telah menimpa rumahtangga anne ngasri. Sedih dengan apa yang terjadi namun kesedihan itu pastinya lebih dirasai oleh tuan yang empunya diri. Berat mata memandang namun berat lagi bahu yang memikul. Semoga Anne menjadi seorang yang tabah dan seperti yang diperkatakan pasti ada hikmah disebalik apa yang terjadi.
Anne jatuh talak tiga
Oleh Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my
2010/06/26
murni@hmetro.com.my
2010/06/26
KUALA LUMPUR: “Saya reda dengan apa yang terjadi dan percaya ada hikmah di sebaliknya,” kata Nasriah Ngasri atau Anne dengan tenang selepas Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam, memutuskan bahawa jatuh talak tiga terhadapnya.
Keputusan itu bermakna kemelut rumah tangga pasangan Anne, 26, dan Abdul Wafi Hassan, 29, berakhir semalam selepas Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin memutuskan ketiga-tiga lafaz cerai termasuk taklik yang diucapkan sah.
Shaiful turut menasihat Anne dan Abdul Wafi supaya memandang kepada kebaikan bukan kepada keburukan bagi menjaga keharmonian bersama demi anak.
Beliau membuat keputusan itu selepas meneliti dokumen dan mendengar keterangan kedua-dua pihak yang sebelum ini dibuat secara tertutup di dalam kamarnya.
Anne sebagai plaintif yang tidak diwakili peguam memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai pada 14 April 2010 dan prosiding bermula pada 19 Mei 2010.
Abdul Wafi pula melantik peguam syarie, Mohd Hamidullah Che Hassan bagi mewakili dirinya.
Lafaz pertama berlaku secara taklik iaitu “Kalau kau keluar rumah, jatuh talak” pada awal Julai 2009 di sebuah rumah di Pulau Pinang dan mereka rujuk semula dengan lafaz “saya kembali kepada awak” yang berlaku selepas waktu Maghrib.
Lafaz kedua pula pada pertengahan Julai 2009 iaitu ketika mereka dalam perjalanan ke Pulau Pinang sebelum rujuk semula dengan lafaz yang sama selepas waktu Isyak.
Manakala, lafaz ketiga yang berlaku ketika wanita itu mengandung dua bulan iaitu “Aku ceraikan kau, Anne” berlaku di rumah mereka di Bukit Jelutong, Shah Alam, pada jam 11.20 pagi, 25 Mac 2010.
Lafaz pertama dan kedua itu tidak didaftarkan ke Mahkamah Syariah dan kedua-dua mereka mengakui bahawa tiada saksi kepada ketiga-tiga kejadian itu.
Anne dalam keterangannya mengakui bahawa dia melanggar lafaz taklik itu dengan keluar dari rumah, manakala Abdul Wafi pula berkata semua lafaz itu dibuat atas kerelaan sendiri dan tiada paksaan daripada sesiapa.
Terdahulu, sebelum prosiding bermula pada jam 11 pagi, Anne hampir pitam di bilik air dan difahamkan terus menghubungi Abdul Wafi yang terus pergi membantunya. Difahamkan, sejak berbadan dua, Anne dikatakan kurang selera makan.
Bagaimanapun, Anne yang kini mengandung hampir lima bulan dan kelihatan berseri-seri hanya tersenyum serta menenangkan diri apabila keluar dari bilik air. Dia turut ditemani, ibunya, Habibah Jaafar, 55.
Pasangan yang pernah menyertai program Sehati Berdansa musim pertama berkahwin pada 26 Mei 2006. Mereka dikurniakan dua anak, Abdul Warits, 4, dan Abdul Wafri, 2.
1 comment:
Syariah perlu ditegak...alhamdulillah pasangan ini mampu mengenepikan perasaan demi mematuhi hukum...agar mereka di rahmatiNYA
Post a Comment