Wednesday, August 18, 2010

BUANG BAYI GAMBARAN SOSIAL MASA KINI.

Di bawah ini adalah keratan akhbar tentang kisah buang bayi yang semakin menjadi-jadi. Apatah lagi bulan baik ini. Hari ini adalah merupakan hari ke lapan umat islam menjalankan ibadah puasa tetapi boleh dikatakan setiap hari jugalah mummy dengar kisah buang bayi ini berlaku. Bertapa tergamaknya hati si pelaku...sepatutnya bulan yang mulia ini kita bermuhasabah diri...mengubah diri menjadi yang lebih baik namun ternyata hati meraka telah kebal untuk menerima kebaikan. Mummy sokong sangat-sangat saranan kerajaan agar pesalah buang bayi dihukum sama seperti hukuman membunuh kerana sememangnya mereka ada niat untuk ke arah itu. Kalau tidak mana mungkin mereka tergamak meninggalkan bayi yang masih hidup dengan sewenang-wenangnya.

Buang bayi gambaran sosial masa kini

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Kes-kes pembuangan bayi yang semakin kerap berlaku sejak kebelakangan ini menunjukkan gambaran tentang kemerosotan akhlak dalam institusi sosial masyarakat masa kini.

Tokoh-tokoh agama berpendapat, kekerapan kes itu adalah petanda bahawa secara umumnya pegangan masyarakat pada aspek agama dan kemanusiaan sudah hampir hilang.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Razak Idris berkata, penyelesaian terhadap gejala itu haruslah dilakukan bagi tempoh jangka panjang dan jangka pendek.

"Penyelesaian perlu bermula dari peringkat keluarga lagi dengan pendidikan agama yang lebih berkesan, ia perlu diterapkan dalam jiwa remaja sejak kecil lagi supaya mereka lebih jelas nilai-nilai dalam Islam dan juga kemanusiaan.

"Program penghayatan agama terutamanya di sekolah-sekolah menengah juga perlu diadakan kerana pada peringkat umur beginilah mereka akan mula terjerumus ke kancah maksiat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kes penemuan terbaru mayat bayi perempuan yang masih bertali pusat dalam sebuah beg sandang yang tersangkut di tebing Sungai Tambun, Kota Damansara semalam.

Muhammad Razak berkata, bagi yang telah terjebak dengan perbuatan zina sehingga menyebabkan mengandung, penyelesaian yang betul haruslah dicari untuk mereka.

"Jika kita sudah melakukan satu kesalahan, maka janganlah ditambahkan lagi dengan membuang bayi itu. Masyarakat juga harus membantu dengan memberi pertolongan supaya mereka tidak membunuh bayi itu," katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Zaid Kamaruddin berkata, persekitaran masyarakat kini yang terlalu bebas merupakan antara punca aktiviti tidak sihat itu.

Beliau berkata, masalah gejala sosial hanya boleh dibendung dengan kekuatan iman dalam diri yang kuat dan jati diri yang berlandaskan agama.

"Kajian menyeluruh perlu dilakukan daripada setiap kes yang dilaporkan untuk memahami sebab sebenar hal-hal itu boleh berlaku,'' ujarnya.

Zaid berkata, pihak berkuasa juga perlu menyediakan satu saluran untuk membantu golongan yang telah terlanjur itu seperti diadakan rumah perlindungan bagi membantu mereka pulang ke pangkal jalan.

"Masyarakat selalunya akan memandang keji terhadap mereka, tetapi seharusnya kita membantu supaya gadis mengandung tidak mengambil jalan salah dengan membuang bayi yang dilahirkan nanti," ujarnya.

Dalam pada itu, pendakwah bebas, Datuk Md. Daud Che Ngah berkata, ibu bapa yang tidak mempunyai ilmu agama merupakan punca terhadap permasalahan itu.

"Ibu bapa terlibat sudah pasti tidak mendidik anak-anak mereka dengan ilmu agama sehingga menyebabkan generasi muda kurang berminat terhadap agama.

"Kepesatan ekonomi dan penghijrahan golongan muda yang masih mentah dalam kehidupan menyebabkan mereka mudah terjebak dengan masalah sosial itu kerana tiada pengawasan daripada ibu bapa," katanya.

Tambahnya, masyarakat perlu balik pada pegangan agama supaya perkara itu dapat dibendung.





No comments: